Search This Blog

Sunday 14 July 2013

Bagaimanakah Cara Rasulullah SAW Mengawal Kemarahan?


  • Nabi Muhammad S.A.W tidak pernah menunjukkan kemarahan Baginda terhadap golongan kafir Quraisy yang sentiasa bertindak di luar batasan terhadap kaum Muslimin. Bahkan, Baginda sentiasa bercakap dengan lemah lembut dan penuh hikmah. Bagaimanakah cara Rasulullah S.A.W mengawal kemarahan?
  • Rasulullah S.A.W menunjukkan beberapa panduan kepada kita bagaimana menguruskan sifat marah. Rasulullah S.A.W sentiasa menasihati para sahabat agar berwaspada dengan sifat marah.
    Jangan Marah
    Seorang sahabat Abu Hurairah r.a. telah meminta Baginda menasihatinya. Rasulullah S.A.W bersabda; “Jangan marah”. Larangan ini diulang oleh Rasulullah S.A.W beberapa kali. (Hadis Riwayat al-Bukhari, Malik dan Tirmizi).
    Begitu juga dengan seorang lagi sahabat yang bernama Abdullah bin Amru. Beliau bertanya Rasulullah S.A.W tentang sesuatu yang boleh menyelamatkan dirinya daripada kemurkaan Allah. Baginda menjawab perkara yang sama iaitu, “Jangan Marah”.
    .
    Dalam suatu kejadian, seorang sahabat meminta nasihat daripada Rasulullah S.A.W, lalu Baginda bersabda, “Janganlah kamu marah.” Sahabat lain pula bertanya, “Apakah yang dapat menyelamatkan daku daripada kemurkaan Allah?” Maka jawab Rasulullah S.A.W: “Jangan tunjukkan kemarahan kamu.” Sahabat yang lain pula meminta satu amalan kebaikan yang mudah untuk dilakukan, maka sabda Rasulullah S.A.W, “Janganlah marah!”
    Mohon Perlindungan Kepada Allah
    Dari Sulaiman bin Surad r.a., katanya: “Saya duduk bersama Rasulullah S.A.W dan terdapat dua orang yang saling bermaki-makian antara satu sama lain. Salah seorang dari keduanya itu telah merah padam mukanya dan membesar urat lehernya, kemudian Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya aku mengetahui suatu ucapan yang apabila diucapkannya, tentulah hilang apa yang ditemuinya (iaitu kemarahannya), iaitu andai kata dia mengucapkan: “A’udzu billahi minasy syaithan,” tentulah lenyap apa yang ditemuinya itu.” Orang ramai lalu berkata padanya (orang yang merah padam mukanya tadi): “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda: “Mohonlah perlindungan kepada Allah daripada syaitan.” Lelaki itu menjawab: “Adakah aku gila (sehingga aku perlu meminta perlindungan daripada syaitan) ?” (Hadis Riwayat al-Bukhari).
    Siapakah Orang Yang Paling Kuat
    Suatu ketika, Rasulullah S.A.W bertanya kepada para sahabat. “Siapakah orang yang paling kuat di kalangan kamu?” Maka para sahabat memberi berbagai-bagai jawapan. Rasulullah S.A.W lalu berkata, “Bukanlah orang yang kuat itu orang yang banyaknya berperang (selalu menumpaskan orang lain); Sesungguhnya orang yang kuat itu adalah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
    Peristiwa ini menunjukkan betapa pentingnya kita menahan diri daripada sifat marah. Banyak insiden yang tidak diingini boleh dielakkan sekiranya kita berjaya menahan marah.
    Rasulullah S.A.W menunjukkan ‘Qudwah’ yang baik ketika sedang marah. Dalam satu kejadian, seorang Arab Badwi telah menarik pakaian Rasulullah S.A.W sehingga meninggalkan kesan merah pada leher Baginda. Lelaki Arab tersebut menuntut agar Rasulullah S.A.W memberikan wang kepadanya. Rasulullah S.A.W hanya tersenyum dan mengarahkan seorang sahabat menunaikan permintaan lelaki tersebut.
    Rasulullah S.A.W Juga Manusia Biasa
    Sebagai manusia biasa, Rasulullah S.A.W juga berasa marah. Namun Rasulullah S.A.W tidak pernah menunjukkan kemarahan itu dengan lidah atau perbuatannya. Apabila Baginda marah, para sahabat mengetahuinya dengan melihat wajah Baginda berubah menjadi merah dan peluh menitis di dahinya. Baginda juga akan senyap untuk beberapa bagi mengawal rasa marahnya.
    Firman Allah سبحانه وتعالى:

    وَإِن تَعْفُوا۟ وَتَصْفَحُوا۟ وَتَغْفِرُوا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌ

    “Dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
    (Surah At-Taghabun ayat 14).
    Rasulullah S.A.W menjanjikan balasan yang baik di akhirat kepada sesiapa yang berjaya menahan marahnya. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi, Baginda bersabda;
    “Sesiapa yang menahan marahnya sedangkan dia mampu melempiaskan marahnya, Allah سبحانه وتعالى akan memanggilnya dari kalangan makhluk pada hari kiamat dan dia diberi peluang memilih bidadari yang ia sukai di syurga.”
    والله أعلم بالصواب
    Wallahu A’lam Bish Shawab
    (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
    Artikel asal - http://anarm.net/blog/pasang-button-facebook-like-di-blog.html#ixzz2BBCrlMnC Under Creative Commons License: Attribution No Derivatives Follow us: @anarmnet on Twitter

    No comments: